Wednesday 4 May 2011

Cerita Disiplin 2 ; Nescafe Ais Yang Menyejukkan

Satu hari, selepas tamat P&P di kelas, saya singgah di kantin sekolah untuk minum. Sambil minum saya memerhatikan gelagat pelajar melalui cermin nako yang terbuka. Di luar kantin sekolah berhenti sebuah motosikal RXZ yang bersuara lantang dan segaja dilantangkan sebelum dimatikan enginnya. Saya dapat melihat seorang pemuda bermuka masam dan teduh memandang sekeliling seperti mencari sesuatu. Saya keluar dari kantin menuju ke arah pemuda tersebut. Wah!, boleh tahan gaya samsengnya. Bulat matanya seperti hendak menelan saya. Kat leher bergayutan bermacam jenis rantai. Ada jenis besi, jenis benang berselirat ditengkuknya. Tangannya juga siap ada rantai besi croom sebesar jari kelingking. Tubuhnya yang sasa dengan jeans lusuh dan baju T ketat menunjukkan ciri-ciri budak gedebe.

"Asssalamualaikum boh (boss)" sapa saya sambil tersenyum. Saya menghampiri pemuda tersebut sambil mengulurkan tangan untuk bersalam. Pemuda itu seperti nak tak nak menyambut salam saya sambil melihat bulat kepada saya.

"Saya nak jumpa cikgu Azmi" beritahu pemuda tersebut tegas sebelum sempat saya bertanyakan tujuannya datang ke sekolah. Berderau darah saya. Otak saya ligat berfikir dan bertanya. Aku kenal ke pemuda ini. Dia tentunya tak kenal saya sebab dia tanya saya, yang mana satu cikgu Azmi.

"Dia ada, nanti saya panggil" sahut saya selamba. Saya mempelawa pemuda tersebut untuk menunggu di kantin sementara menunggu saya memanggil cikgu Azmi. Dia mengekori saya masuk ke kantin sekolah. Saya memesan minuman nescafe ais seperti yang dimintanya. Sambil itu saya sempat berbisik dengan Abang Din dan Anaknya Sayuti. Saya meminta mereka standby kerana pemuda tersebut mencari saya tapi dia tak kenal saya.

Saya sendiri membawakan air kepada pemuda tersebut. Sambil duduk didepannya saya mempersilakan dia minum. Bila sahaja dia selesai menyedut sedutan pertama, saya memandang tepat kedalam matanya dan dengan tegas mengaku bahawa sayalah cikgu Azmi. Saya sebenar telah bersedia sebarang kemungkinan. Bersedia untuk lari.... Pemuda itu mengangkat kepalanya dan dengan tepat memandang kepada saya. Kami bertentangan mata. Abang Din menghampiri meja kami dan berpura-pura mengelap meja. Sayuti keluar dari pintu dapur dan stanby diluar mintu masuk kantin.

"Kenapa cikgu tampar adik saya semalam?" tanya pemuda tersebut yang masih memandang tepat mata saya. Saya merenung tepat ke dalam matanya. Pemuda itu yang tadinya sudah nampak tenang kembali menunjukkan rasa marah. Mukanya berubah sekali pucat. Sekali merah. Macam nak makan orang.

"Gini, Kelmarin dulu (sehari sebelum semalam) Mamat bergaduh dengan budak Felda X. Jadi saya pun panggil Mamat untuk merekodkan peristiwa yang berlaku dalam borang. Kelmarin saya minta borang tersebut. Borang pengakuan tersebut tidak diisi tapi saya tengok ada bekas tulisan yang telah dipadamkan menggunakan liquit paper. Bila saya tayangkan pada lampu saya dapat membaca tulisannya yang mencarut dan menyumpah seranah diri saya.

"Dia kata apa kat cikgu?" soal pemuda tersebut dengan nada suara lebih lembut. Saya sebut juga apa yang ditulis adiknya dengan rasa sedikit malu. Pemuda tersebut terdiam sambil merenung mata saya dengan sayu. Dengan perlahan dia berkata;

"Cikgu!, cikgu memang sabar, kalau saya dia kata begitu, saya sepak mampus" Saya menarik nafas lega. Nescafe ais yang diminum rupanya berupaya menyejukkan darahnya yang menggelegak. Abang Din mengakat tangan sambil tersenyum dan terus ke dapur. Sayuti juga. Selepas itu saya berbual panjang dengan pemuda tersebut tanpa rasa gementar lagi.. Selepas hari itu saya dan pemuda tersebut berkawan baik hingga ke hari ini....

Cerita Disiplin 1 ; Aktviti Luar

Aktiviti Luar

Pagi itu pagi isnin. Perhimpunan rasmi sekolah. GPK 1 sedang berucap. Tiba-tiba salah seorang pembantu tadbir sekolah memanggil saya. Ada panggilan telefon katanya. Saya bergegas ke pejabat. Rupanya ada ibubapa yang perihatin memberitahu ada sekumpulan pelajar berada di kawasan rumahnya. Pelajar-pelajar yang ponteng perhimpunan. Pelajar yang takut spot check. Atau pelajar-pelajar yang dah bosan dengar potpet-potpet saban minggu. Pelajar-pelajar ini sebenarnya bukan berniat untuk ponteng sekolah. Lepas perhimpunan nanti mereka akan menyusup masuk melalui lubang-lubang pagar belakang sekolah dan belajar seperti biasa. Tetapi itu kebiasaannya. Itulah yang berlaku saban minggu. Sekumpulan pelajar lelaki ponteng perhimpunan. Puas sudah saya memintas. Taknak juga masuk. Penat sudah saya melibas. Tak jugak serik. Kalau saya tanya mereka tak menjawab. Takut kot. Tapi kalau cikgu lain tanya, mesti tak suka cikgu berleter. Cikgu marah-marah…

Saya meminta kebenaran pengetua untuk melihat pelajar-pelajar saya yang ponteng perhimpuanan bersama beberapa orang cikgu lelaki. Kami berjalan kaki sahaja ikut pintu pagar belakang sekolah. Kawasan rumah tempat pelajar-pelajar tadi berkumpul lebih kurang 200 meter dari sekolah. Dari luar jelas kedengaran suara GPK1 sedang memberikan ucapan. Rupanya selama ini kami di sekolah tidak perasan, bahawa penggunaan pembesar suara di sekolah akan dapat didengari dengan jelas di kawasan perumahan penduduk kampong. Macamanalah perasaan mereka agaknya bila mendengar cikgu berleter pada anak-anak mereka saban minggu. Cuak juga rasanya mereka. Yalah kadang-kadang kita sebagai orang dalam pun kadang-kadang pening memikirkan cara beberapa orang guru mengendalikan perhimpunan rasmi sekolah. Yalah seperti yang saya sebut sebelum ini, perhimpunan rasmi menjadi medan untuk memarahi, mengutuk dan menyindir pelajar yang melakukan disiplin. Sedangkan mereka yang tidak melakukannya akan dipaksa mendengar leteran sedangkan mereka yang melanggar disiplin belum tentu ada dalam perhimpunan tersebut.

Saya dan kawan-kawan secara senyap-senyap menyusup di celah-celah rumah peneroka. Meninjau-ninjau. Mengintai kedudukan pelajar-pelajar saya. Dari jauh kedengaran sayup-sayup suara pelajar saya borborak dengan sesekali terdengar deraian ketawa. Kami memerhatikan gelagat pelajar-pelajar sedang berkumpul dalam satu kelompok besar . Duduk mencangkung sambil berborak di halaman sebuah rumah peneroka. Satu kelompok lagi duduk di birai jalan. Entah apa diceritakan mereka. Jumlah semua pelajar-pelajar ini lebih kurang 15 orang. Dalam jarak 70 meter salah seorang daripada pelajar ternampak kelibat kami di belakang rumah tempat mereka berkumpul. Tanpa memberikan amaran kepada kawan-kawannya pelajar tersebut terus bingkas dan lari lintang pukang. Kami tidak pula berniat hendak mengejarnya. Kami bimbang, kalau kami kejar dan berlaku apa-apa kecederaan, kami juga yang akan dipersalahkan. Kami hanya hendak mengecam beberapa orang pelajar sahaja. Kami sempat mengecam beberapa orang pelajar sahaja. Dan ianya sudah mencukupi. Tugas kami untuk mengenalpasti pelajar lain akan dibantu oleh pelajar-pelajar ini nanti.

Apabila seorang daripada pelajar tersebut lari, secara serentak semua pelajar lain lari lintang pukang. Mereka sudah sedia maklum. Tentu cikgu datang menyerbu…Saya dan kawan-kawan berjalan menuju ke tempat pelajar tadi berkumpul. Kami hanya tersenyum dengan gelagat pelajar-pelajar tadi. Di rumah sebelah saya lihat seorang makcik India sedang berdiri di hadapan tandas dengan tangannya memegang baldi. Seperti nak masuk ke tandas di sebelah rumahnya. Pada masa itu tahun-tahun awal 90an, masih banyak rumah peneroka yang masih dalam keadaan asal. Belum diubahsuai. Kebanyakan tandas di luar rumah. Tandas curah! Saya memandang kearah makcik India tersebut. Dia memandang saya dan memberikan isyarat dengan memuncungkan mulutnya menunjuk-nunjuk kea rah tandas di tepi rumahnya. Saya faham bahawa ada pelajar saya yang sedang bersembunyi di dalamnya… Mungkin makcik tersebut takut memberitahu kami secara terbuka. Saya menghampiri tandas tersebut, tak terdaya saya hendak menahan ketawa.

“Bang!, cepat sikit, Aci dah tak tahan nak buang air ni!. Kenapa lama sangat? Cirit ke? Tanya saya sambil gelak. Kawan-kawan saya yang lain terbahak-bahak ketawa menyaksikan peristiwa yang tidak diduga tersebut. Tiba-tiba keluarlah tiga orang pelajar saya daripada tandas tersebut.

“Ya Allah, sampai tiga orang sekali. Macamana kamu buang air, sampai tiga orang serentak. Ke kat dalam ada tiga mangkuk tandas” tanya saya sambil menahan ketawa.

Pelajar-pelajar tingkatan empat tersebut menuju ke arah saya tanpa dipanggil sambil tersipu malu. Muka mereka merahnya menyala. Entah malu ke atau takut kena sepak. Saya kenal semua pelajar tersebut kerana saya mengajar mereka mata pelajaran ekonomi asas. Aci tersebut masih tercegat di hadapan pintu tandas. Tak jadi masuk.. Malu kat kami kot, kerana kami ada berhampiran. Saya mengarahkan pelajar-pelajar tadi masuk ke sekolah dan menunggu dibilik saya sehingga saya datang. Saya dan guru-guru yang bersama-sama saya tadi memungut beberapa buah beg yang tidak sempat dibawa bersama ketika pelajar-pelajar saya tergesa-gesa melarikan diri. Kami berjalan ke arah pelajar-pelajar saya melarikan diri tadi menyelinap antara rumah-rumah peneroka.

Di hadapan sebuah rumah tercegat sorang peneroka. Memandang kami kehairanan. Sambil terseyum dia menyapa..

“Kenape cikgu? Ada aktiviti luar dengan bebudak ke? Tanya pakcik tersebut dalam loghat Pahang.

“Aktiviti luar apanye Pak Anjang, budak-budak ni ponteng. Tak masuk perhimpunan tadi. Bila nampak kami mereka cabut. Tu yang lintang pukangnya..” jawab saya. Pakcik ni dikenali dengan pak Anjang sebab dia kurus tinggi. Dah jadi biasa. Gelaran di Feldanya gitu..

“Eh, tadi saya nampak salah seorang daripadanya macam anak saya!.., tak apa cikgu , cikgu tak payah cari, biar saya cari budak-budak tu. Cikgu tunggu kat sekolah. Sekejap lagi saya hantar anak saya” Nampak sangat Pak Anjang dah mula marah. Mukanya dah merah, marah dan malu kepada kami kot? Saya berbincang dengan kawan-kawan dan kami semua berpatah balik ke sekolah. Ada empat buah beg yang pelajar tinggalkan semasa melarikan diri tadi kami bawa balik. Nanti pelajar-pelajar tersebut akan dating menyerahkan diri.

Tidak lama selepas kami balik ke sekolah, kelihatan di hadapan pintu pagar sekolah beberapa orang pelajar berjujuk masuk ke sekolah. Di belakang kelompok pelajar tersebut kelihatan Pak Anjang dengan motosikalnya bergerak perlahan. Seperti gembala sedang mengiringi ternakannya. Membonceng di belakang Pak Anjang ialah anaknya yang tunduk malu. Saya menunggu Pak Anjang di hadapan kantin sekolah.

“Ni, cikgu! Saya serahkan anak saya. Cikgu buatlah apa yang patut!. Saya dah sepak mukanya tadi.” Rengus Pak Anjang bengkeng. Memang Pak Anjang bengkeng orangnya. Dia di kenali dikenali di sini sebagai seorang yang baran.. Saya cuba menyabarkan Pak Anjang. Saya mengarahkan pelajar-pelajar tadi termasuk anak Pak Anjang ke bilik disiplin untuk mencatatkan kes melalui salah seorang guru jawatankuasa disiplin yang telah menunggu di bilik disiplin. Saya lihat muka anak Pak Anjang lebam di pipi. Bibirnya bengkak berdarah..

Saya mengajak Pak Anjang minum kat kantin sekolah.

“Saya harap Pak Anjang janganlah diapa-apakan budak tu” saya cuba mententeramkan Pak Anjang.

“Saya betul-betul ingat cikgu ada aktiviti luar tadi.. tak sangka rupanya anak saya ponteng..”jelas Pak Anjang sayu

Dalam hati saya, nak gelak ada , sedih pun ada…….

Tuesday 3 May 2011

Kursus Pemantapan Teknologi

Assalamualaikum...
Hari ini aku telah menghadiri satu kursus di Institut Aminuddin Baki. Kursus Pemantapan Teknologi yang mendedahkan kepada aku untuk menjadi seorang blogger. Setelah sekian lama aku hanya menjadi pembaca setia blog tertentu di internet, hari ini aku berpeluang pula untuk menjadi salah seorang daripada mereka. Terlalu banyak yang telah aku manafaatkan bahan-bahan yang aku perolehi daripada blog-blog yang telah aku layarai sebelum ini. Tetapi terlalu sedikit dan mungkin tiada satu pun bahan yang pernah aku sumbangkan kepada pengguna internet yang lain. Rasanya tidak adil untuk aku menjadi pengguna selamanya tanpa sedikit sumbangan kepada orang lain.

Hari ini 4.5.2011 hingga 5.5.2011, melalui kursus yang aku ikuti ini aku bertekad untuk menjadi blogger yang mampu memberikan sedikit input kepada pengguna yang lain....Insyaallah